Friday, December 18, 2009

Salam Maal Hijrah 1431

Aku mulai tahun baru ini dengan seluas rasa syukur yang tidak terkira. Dengan azam dan tekad untuk menambahbaikkan status amalanku, memohon agar Allah terus memberi hidayah dan rahmat supaya aku tidak lalai dan leka dalam menjalani hidupku. Aku sedar bukan mudah untukku depani hidup ini dalam suasana hidupku ini namun tanpa bantuanNya aku pasti lagi sempit. Sempit dalam segala hal. Sempit hati dan fikiran. Sempit tindakan dan kelakuan. Lalu pastinya tiap langkahku jelek. Wahai Pemilik sekelian alam, aku memohon padaMu agar ditetapkan hatiku padaMu, agar aku dapat terus beribadah dengan ikhlas dan tekun. Semoga segala apa yang aku rangka untuk agenda hidupku di tahun ini dipermudahkan dan dimakbuli segala hajat. Semoga aku akan selalu sabar, bersemangat dan cekal dalam menghadapi dugaan dan ujian dariMu.
Begitu juga dengan anakku, semoga dia dapat belajar erti kehidupan ini dengan sebaiknya. Bantulah aku dalam mendidik dan mengasuhnya dengan segala pesanan kekasihMu dan juga panduanMu. Sesungguhnya Kau Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kami. Jadikanlah kami hambaMu yang istiqamah dalam ibadat dan cenderung berbuat kebajikan. Semoga kami terus dapat merasa nikmat iman dan taqwa kepadaMu.

Thursday, December 17, 2009

Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Tiada apa yang dapat ku lakukan selain dari sujud syukur. Itulah reaksiku yang pertama setelah tamat sesi temudugaku. Terasa amat dimudahkan oleh Allah. Terasa betapa Allah itu amat dekat dengan ku. Mendengar tiap rintihan dan bicaraku. Benar, jika selangkah kita dekat kepadaNya, Dia terlebih dulu dekat dengan kita. betapa Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Tetap memberi walau sering dilupakan. Aku sangat-sangat terharu dan hiba bila mengenangkan terlalu banyak yang telah Allah berikan namun terlalu sedikit pula aku membalas. Terasa amat malu namun aku menanam tekad dan azam untuk terus istiqamah dan mendidik diri menjadi hambaMu ya Rabb yang taat dan bertaqwa. Permudahkanlah hajatku ini dan bantulah aku dalam berkelana di bumiMu. Amin.

Wednesday, December 2, 2009

Selamat Ulang Tahun Kelahiran Anakku

Nur Insyirah Balqis, sepotong nama yang anggun didengar. Indah dan bahagia hari-hari ku saat bersamamu. Menjadi pemangkin jiwa ku yang rapuh dan terluka. Lalu mengubat sendu dijiwa. Umi bersyukur adanya dirimu dalam hidup umi. Menjadi peneman kala sendiri...dan menjadikan diri umi segagah si Tuah. Maaf, agak keterlewatan umi mematri bicara buat tatapanmu.

Sudah genap 2 tahun usiamu. Saban hari ada saja keletahmu yang mencuit hati. Dan hari ini kau tampilkan lagi aksimu... mengasihani umi yang kesakitan, demam. Pandai sekali kau memicit kepala dan membelai pipi umi. Terharu umi dibuatnya. Dalam hati umi tak pernah putus berdoa agar segala apa yang Nur mahukan akan dimakbuli. Umi doakan Nur menjadi hamba Allah yang taat serta umat yang berbakti pada agama dan sekaliannya.

Aksimu petang tadi amat melucukan. Kau memanjat sofa lalu terjatuh dan kaki kecilmu itu tersangkut di celahan kerusi di meja makan dan perkataan yang terkeluar dari mulutmu ialah Allah...Allah...Allah. Sangat-sangat comel kata-kata itu. Lagi sekali umi terharu. Nur, izinkan umi membentukmu menjadi hamba Allah yang bertqwa. Berilah kerjasama yang terbaik dalam usaha umi membimbingmu dan juga diri umi sendiri kerana setiap hari adalah 'learning process'. Kita belajar menjadi lebih baik setiap hari. Umi bersyukur kerana selama ini Nur membesar dengan penuh kesabaran dan amat memahami walau usia Nur masih mentah dan tidak mengerti apa yang telah berlaku dalam hidup kita. Nur sememangnya sabar dan tabah.

Nur Balqis sayang,
Tiada apa yang berharga untuk umi hadiahkan padamu...namun doa dan harapan umi tak pernah putus buat mu. Umi berharap suatu hari nanti, Nur akam memahami apa yang telah umi coretkan dilembaran maya ini. Umi berharap Nur suka dan mendalaminya.

*************************************************************

Anakku tercinta,
Dikala kau sedang lena di pembaringan, dibuai mimpi indah, digigit dingin dinihari, aku menatap wajahmu.. berombak-ombak pipi mungilmu lalu kau tersenyum seolah-olah menyapa kehadiranku. Kau... persis selembar kain putih yang terbentang sedia untuk diwarnai, HIJAU, MERAH, BIRU atau KUNING. Demi Allah duhai anakku tercinta akan kulukis kebesaran tauhid, kan ku corak sunnah Rasullullah, ku lakar jalan lurus ilmu syariah, ku adun warna warni kemahiran hidup, kuhiasi dengan ilmu hikmah sebagai bekalanmu bermusafir di muka bumi Allah ini.
Anakku sayang,
Kelak kau jadilah permata, jadilah orang yang beriman, hidup dengan cemerlang, menjadi sinar buat ummahmu, menyimbah cahaya di malam yang gelita.
Anakku manja,
Tahulah kau bahawa hidup ini adalah pinjaman buat orang-orang yang beringat menabung untuk alam hakiki. Masih jauh perjalananmu, namun doa dan harapan ku terlalu tinggi buatmu. Ayuh, kita rentasi jalan hidup ini dengan penuh kehambaan dan keinsafan.

Ikhlas dari umi buat Nur.
Sayang yang amat.

Salam Idul Adha

Pengorbanan... menuntut kesabaran. Terima kasih kepada mereka yang pernah berbudi pada ku. Sesungguhnya budi kalian hanya Allah yang membalas. Sesungguhnya yang baik itu adalah dari Allah dan yang jelek itu adalah kelemahanku sendiri. Maafi diri ini dalam setiap perhubungan.

Wednesday, November 18, 2009

Syukran Jazilan Ya Allah...

Dengan nama-Mu Ya Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-32.

Alhamdulillah, teramat syukur aku pada-Mu wahai Tuhan kerana hari ini aku masih lagi menghirup udara-Mu dengan percuma. Hari ini juga aku amat bersyukur kerana Kau masih melimpahi aku dengan hidup yang harus aku manfaatkan sebaiknya. Aku bersyukur kerana Kau masih memberi peluang untukku tebus segala khilaf hidupku selama 32 tahun ini. Saban hari aku berdoa agar Kau panjangkan usiaku agar aku dapat memohon pengampunan-Mu sebelum tiba hari perhitungan yang hakiki. Aku takut seandainya aku tersesat jauh dari syurga-Mu dan segala kebaikan yang terbentang luas.

Ya Allah, hadiah apakah yang terbaik aku terima pada ulang tahun kelahiranku ini? Tiada yang lebih istimewa selain nikmat nyawaku itu sendiri kerana dengan adanya ia dalam jasadku aku masih bisa melangkah dan melaksanakan segala amanah yang dipertanggungjawabkan padaku. Bukankah itu sebaik-baik nikmat? Oleh itu, Kau bimbinglah aku dalam menongkah arus hidupku ini ke arah-Mu dengan sebaik-baiknya kerana aku amat yakin hatiku ini telah terpaut erat pada-Mu. Aku mohon Ya Allah, agar Kau terus menyayangi aku dan memandangku. Semoga Kau terus limpahkan hidayah-Mu agar aku bisa memperhambakan diri pada-Mu.

Ya Allah, selama 32 tahun ini, pelbagai ujian aku tempuhi. Adakalanya aku tewas lalu jatuh jauh nun ke dalam gaung dosa. Sukar sekali aku meraih kemaafan insan. Lalu aku memujuk hati mencari kebenaran merapati-Mu. Bukan kerana aku kecewa, namun aku mahu mencari ketenangan yang abadi bersama-Mu. Aku temui. Aku benar-benar temui itu dalam perhubungan kita yang amat sempurna. Namun aku sedar adakalanya aku tersungkur lagi dan Kau tidak jemu-jemu menghulur tangan sakti-Mu padaku. Menarikku kembali naik dari lemas dunia. Lalu apakah pengabdianku ini tidak sejati? Apakah cintaku ini tidak tulus? Oh Tuhan, benarlah kata-Mu…sesungguhnya manusia itu terdiri dari sifat lupa dan alpa. Tahu tapi masih leka. Aku mohon Ya Allah, agar aku tidak terus bergelumang lupa dan alpa kerana itu adalah pembunuh yang senyap. Kau Maha Mengetahui akan perjalanan hidup ini dan Kau Maha Arif akan kehadiranku di dunia pinjaman ini.

Ya Allah, aku masih punya tanggungjawab terhadap anakku, keluargaku, muridku, masyarakatku, bangsaku juga agamaku. Sementara Kau pinjamkan mereka padaku dan aku pada mereka, Kau bantulah aku. Biar mereka mendapat sebaik-baik pembelaan dariku. Banyak lagi kekurangan yang harusku lunasi sebelum masa menjemputku. Peliharalah kesihatanku agar aku dapat terus beribadah dan berkhidmat dalam hidupku. Sabar dan tabahkanlah hatiku dalam perjalanan ini. Aku juga bersyukur kerana Kau anugerahkan aku keluarga, teman dan sahabat yang penyayang dan tidak jemu mengingatkanku bila aku terlalai dalam amal perbuatanku, ibadahku, tanggungjawabku, juga saat suka dukaku. Aku yakin Ya Allah, tanpa Kau gerakkan hati mereka mana mungkin mereka berkata padaku.

Ya Allah, aku bersyukur dengan rezeki yang Kau anugerahi padaku. Biar sekecil mana habuannya itu sudah memadai asalkan ianya halal dan tidak menyalahi. Semoga kau redhai rezekiku ini dan ringankan tanganku untuk memberi. Semoga kesederhaan itu menjadi amalanku selamanya.

Ya Basir, terima kasih kerana menampakkan aku segala kemungkaran agar dapat aku simpangi, agar dapat aku perbaiki dan agar dapat aku insafi. Terima kasih juga kerana menganugerahkan aku pandangan ilmu agar dapat terus aku melihat kejadian-Mu dan membuatku berfikir akan kebesaran-Mu.

Ya Rashid, peliharalah lidahku dan mulutku supaya dapat terus bezikir nama_Mu dan memuji Rasul-Mu. peliharalah kata-kataku supaya bercakap yang benar, yang ditutur bakal menjadi penawar dan yang diluah menjadi azimat.

Ya Qayyum, puji-pujian ke atas-Mu yang membenarkanku berdiri, berlari dan melangkah walau langkahku pernah songsang, walau jalanku pernah silap, walau tariku pernah sumbang dan jelik, Kau tetap memberiku peluang agar dapat ku perbetul semuanya seiring peningkatan usiaku ini. Ya Allah, letakkan kaki ini dilandasan-Mu supaya ia melangkah ke rumah-Mu, ke Raudhah-Mu dan ke sisi-Mu. Pesongkan kakiku ini dari mencecah kemurkaan-Mu.

Ya Wahid, syukurku pada-Mu kerana kau berikan kedua tanganku ini untuk terus bekerja yang benar. kau berikan khudrat padanya agar aku tidak mengambil bukan yang hakku. Pintaku pada-Mu Ya Allah, ampuni khilaf tangan ini jika pernah mengambil bukan yang milikku dan mengingkari amanah yang diberi. Semoga aku bisa terus menadah tangan meraih syafaat dan hidayah-Mu.

Dengan izin-Mu jua, hari ini aku bisa meluah bicara ini kerana terasa terlalu banyak aku berhutang dengan kurnia-Mu dan terasa terlalu sedikit pengabdianku pada-Mu. Terasa amat malu kerana Kau tidak pernah putus memberi sedangkan aku selalu lupa untuk berterima kasih. Semoga Ya Allah, akalku ini terus jernih dan cerdas, hatiku ini selalu tulus, badanku ini terus segar untukku lakukan penghambaanku pada-Mu. Yang kesekiannya, semoga Kau terus lindungiku dan anakku, keluargaku juga mereka-mereka yang aku sayang dari dakyah dan tarikan seri dunia yang menyesatkan. Semoga aku bisa memanfaatkan hidupku untuk kemaslahatan semua dan sempatku perbetul segala ralat sebelum Kau ambil semula nyawaku kerana ia adalah hak-Mu.

Dikesempatan ini, aku mohon Kau cucurilah rahmat-Mu ke atas roh kedua ibu dan ayahku yang kini bersama-Mu. Aku benar-benar kangan pada mereka. Aku akan terus berusaha menjadi anak yang solehah kerana hanya tiga perkara yang dapat membantu setelah mati menjemput. Yakni amal ibadah, sedekah jariah yang berterusan dan juga doa anak yang soleh. Semoga doaku ini diterima dan bisa membahagiakan mereka disamping-Mu. Terima kasih bonda kerana melahirkan aku. Terima kasih ayahanda kerana mendidikku. Budi dan jasa kalian tidak mampuku balas selamanya. Semoga kita bertemu di Firdaus Allah dan sesungguhnya kalianlah hadiah terindah yang pernah aku miliki. Wahai Tuhan Sekelian Alam, ampunilah segala dosa-dosaku dari dulu hingga kini yang entah menggunung tinggi. Aku sebenarnya amat takut dengan siksaan-Mu kerana aku yakin janji-Mu itu adalah benar.

Kepada insan yang aku berhutang kemaafan, ampunkan aku jika meluka, mengguris dan menyakiti kalian. Minda ini mungkin sudah terlalu lemah untuk mengingat mereka yang menyakiti, bicara yang mengguris hati, kata yang merobek jiwa, juga yang mengherdik telinga, menusuk mata dan meracun semangatku. Sesungguhnya jiwa ini kian menguis rasa benci supaya disiram rasa maaf. Semoga aku temui tiap kemaafan. Ampuni aku ayahanda dan bonda. Ampuni aku kanda, adinda, sahabat, teman dan semua. Ampuni aku Ya Allah.

Biar esok aku dibangkitkan semula supaya bersedia untuk dikembalikan. Amin.

Wednesday, November 4, 2009

Air Mata Jatuh Di Dalam...

Ungkapan itu gambaran kesedihan yang amat... Aduhai, apalagi yang meruntun hati? Apalagi yang mengusik rasa? Apalagi yang menghambat suka... Lalu aku berteleku lagi. Berfikir yang terbaik untuk diri dan orang-orang sekeliling... Ahh... aku buntu. barangkali akalku tidak berfikir tenang dan jernih... Banyak sekali ralat yang terjadi. Lalu aku cuba mendistancekan diri. Masih terlalu awal untukku berkeputusan. Biarlah dahulu hingga mindaku cergas semula... lemahnya aku sebagai hamba...

"Sesuatu" yang terjadi di akhir-akhir ini amat-amat mengajar aku tentang sesuatu yang bukan milikku... Sesungguhnya semua yang ada di langit dan di bumi ini adalah milik Allah... Walau sayang yang dalam, walau kasih yang membara semua itu hanya sementara.. Jika ditakdir ia datang seperti air lalu, seperti airlah ia akan pergi..

Dan aku... masih juga di sini, menelusuri hidup ini seperti apa adanya...dan aku berpesan pada diri...Bersyukurlah dengan apa yang telah aku ada, dan apa yang pernah aku ada...

Tuhanku... terima kasih kerana sayang pada ku.

*** semalam, aku lihat nun di ufuk timur mega merah merona di angkasa senja... lalu terhasil celoreng yang indah dan mendamaikan. aku terus berlari mengejar cahaya suka hingga terlupa laskar pelangi pagi yang turut pernah menghadirkan rasa bahagia. aku terasyik dalam cinta yang singkat bilamana guruh amaran memberi ingat... hidup ini tidak selalu indah...***

Friday, October 30, 2009

Nur Islam

Terkedu... jantung umi berdegup kencang. Serta merta umi terkasima. Tak disangka umi menangis... Entah mengapa umi beriak begitu... barangkali itu gambaran kejahilan umi. Umi mengakui umi tidak arif dalam perihal agama ini. Umi bimbang jika tersalah menjawab umi berdosa kerana telah memberi kenyataan yang bercanggah dengan agama.

Soalannya amat mudah... mengapa seseorang yang bukan Islam itu wajib memeluk Islam jika mahu berkahwin dengan seorang Islam.

Umi menarik nafas dalam... berfikir sejenak. Terasa seperti dalam perdebatan agama. Umi manalah berani untuk menjawab... nyatalah umi sangat-sangat jahil... umi kena pergi belajar lagi ilmu tauhid dan makrifatullah... Ya Allah, ampuni hambamu ini... Hamba mengakui akan kebodohan hamba...

Pun begitu umi menjawab sekadar penjelasan ringkas...

Monday, October 26, 2009

Maafkanku

Salah faham, bisa terjadi pada sesiapa... Malah 'misunderstanding' ini boleh menyebabkan seseorang bermasam wajah gara-gara tidak mendapat suatu penjelasan yang jernih dan hati digelusung persoalan. Aduh... umi juga pernah berdepan situasi ini... Lalu terimbau kembali peristiwa tahun 2005, hanya sebuah salah faham hubungan umi dan rakan sekerja terjejas teruk..Syukur, setelah berdepan semuanya dan dijelaskan dengan ikhlas segalanya kembali pulih. Namun ia tetap menuntut sedikit waktu... Umpama sungai yang keruh menanti jernih...

Dan... beberapa hari lalu salah faham itu terulang. Bezanya detik waktu masa dan insan yang terlibat adalah orang yang umi hormati... Umi bertanya sendiri mengapa ini terjadi. Adakah ini ujian di atas persahabatan atau sebagai tanda agar umi berbatas dalam hubungan... Lalu haruskah umi menjadi umi yang sebelumnya... terus menelan bicara?

Dalam hati umi... umi sesal kerana menganggap orang seperti umi... Tidak semua insan yang mengaku faham akan diri kita sebenarnya memahami kita...

Ya Allah, andai khilaf ini berpunca dari diri hamba yang hina ini, berilah petunjuk agar ukhwah ini terus terjalin mesra... sesungguhnya Kaulah yang Maha Mengetahui... sedangkan hamba insan yang selalu alpa dan selalu berbuat ralat....

Saturday, October 24, 2009

One Sweet Day

Sorry I never told you all I wanted to say and now it's too late to hold you cause you've flown away so far away. Never had I imagined living without your smile feeling and knowing you hear me it keeps me alive. Alive.

And I know you're shining down on me from Heaven like so many friends we've lost along the way and I know eventually we'll be together, one sweet day.

Darling, I never showed you assumed you'd always be there I took your presence for granted but I always cared and I miss the love we shared and I know you're shining down on me from Heaven like so many friends we've lost along the way and I know eventually we'll be together one sweet day.

Although the sun will never shine the same I'll always look to a brighter day Lord I know when I lay me down to sleep You will always listen as I pray and I know you're shining down on me from Heaven like so many friends we've lost along the way and I know eventually we'll be together one sweet day.

And I know you're shining down on me from Heaven like so many friends we've lost along the way and I know eventually we'll be together one sweet day.

Sorry I never told you all I wanted to say...

Wednesday, October 21, 2009

Seorang sahabat, teman, rakan, kawan.

Mana satukah kita antara yang di atas?

Syukur, gembira, senang, bahagia...

Itulah gambaran perasaan ku tatkala dapat menjejak seseorang yang telah lama ku cari. Tidak tersangka pula akan bersua dalam dunia maya kecanggihan teknologi ini. Bermula dengan fb adikku, aku meneroka teman-temannya. Dan... tersentak aku melihat seraut wajah yang lama ku cari. Cuma aku agak terkeliru kerana nama akhirnya tidak seperti yang aku tahu. Aku cuba menghantar pesan. Dan 16.10 aku disapa olehnya. Ya Allah, aku berdoa agar pertemuan yang tak terduga ini tidak menggugah martabat keimanan ku padaMu Ya Rabbi. Ampuni aku jika dalam larut bicara ku ini, aku melupaiMu. Ampuni aku yang lemah ini...Sesungguhnya aku benar rasa berbunga-bunga.

Apapun, aku hanya berharap persahabatan yang terputus dulu dapat berlangsung kembali. Aku maklum, dia punya tanggungjawab dan aku juga punya tanggungjawab, namun niat aku satu... sekadar sahabat...

Bercerita tentang sahabat... aku lebih suka memanggil mereka ini sahabat kerana hadir mereka terkesan di danau hatiku. Bermacam-macam watak dipertemukan dengan ku. Namun semuanya ku terima tanpa ada rasa curiga. Bagiku, bukan mudah untuk menyuruh orang sayang kepada kita. Lalu aku katakan pada diri, bersahabatlah dengan jujur selagi ia tidak memudaratkan. Hingga hari ini aku masih ingati kehadiran mereka dalam hidupku, meneman ku menelusuri usia kehidupan.

Dan dia... yang ku panggil Tha, adalah sahabat yang pertama lekat di hatiku. Mengapa ya? Dia, di antara mereka yang menyedarkan ku betapa pentingnya menuntut ilmu. Bermula sekadar usikan, ditambah ejekan rakan, kami menjadi kawan. Aku kagumi... dia lebih bijak dari ku. Mula terbit rasa rendah diriku kerana aku tidak sebagus dia. Dan persaingan tentang pelajaran sering menjadi topik perbualan.

Pernah terjadi satu peristiwa di mana aku amat marahkan dia hanya kerana aku terasa diperkecil dalam mata pelajaran Prinsip Akaun. Waktu itu, kami ditingkatan 4. Dia datang ke sekolah atas urusan berpindah ke sekolah teknik. Aku sendiri sudah ingat-ingat lupa. Dia datang menemuiku, menanti hingga akhir waktu. Aku juga amat gembira kerana setelah dia berpindah sekolah itulah terakhir kalinya aku berjumpa dia. Tidak ku sangka hari itu menjadi detik pemisah antara kami.

Dia dan seorang lagi rakan (Madi barangkali) berbicara sambil tertawa apabila aku katakan aku mengambil Prinsip Akaun. Aku mula rasa diperkecil. Memang mereka ketawakan aku. Kenapa? Benak sangatkah otakku untuk belajar pelajaran tersebut? Aku amat malu dan rasa bodoh. Dan... Pang! Aku...aku pukul dia. Di pipi. Dan aku lihat dia amat terperanjat. Barangkali dia tak sedar dalam berbicara waktu itu telah menyakiti hati aku. Aku terus berlalu. Aku ke surau. Ada teman yang perasan sewaktu aku melalui mereka bertanya kenapa aku menangis? Oh, tidak aku sedar sebak amat aku rupanya. Aku menangis kerana aku telah sakiti dia. Aku menangis kerana aku diperkecil oleh dia. Aku menangis kerana aku ingatkan dia sahabatku. Tapi... sangka ku silap. Kalau sahabat dia tidak akan ketawakan sahabatnya bukan? Lalu aku berkeputusan memencil diri. Membawa rajuk yang tak berhaluan. Aku diam. Aku terus diam. Dan dia, dia juga diam. Aku kira dia marahkan aku, atau berdendam denganku, atau bencikan aku. Kerana dia juga tidak mencariku... Hingga hari ini aku masih belum meminta maaf di atas perbuatanku. Aku menyesali namun telah terlambat kerana aku langsung terputus hubungan dengannya...

Setelah makin dewasa, setelah aku sedar betapa sensitifnya aku dulu, betapa lemahnya kawalan emosi aku dulu, baru aku mula mencari dia. Merisik khabar dengan teman-teman yang kenali dia. Namun masih tidak berberita. Lalu aku pasrah pada takdir... Jika aku punya kesempatan dalam pertemuan dengannya, aku akan memohon maaf...

Dan... hari yang aku nanti tiba juga. Aku bersyukur kerana masih berkesempatan untuk menebus khilafku yang dulu. Setelah 16 tahun berlalu... ada cerita bertemu sudahnya.

Sahabat, sudikah kau maafi aku?

Terima kasih atas persahabatan ini.

Wednesday, October 14, 2009

Nikmat Mengajar

Salam...

Umi hanya mahu berkongsi sedikit rasa bersama teman-teman. (ada ke? he..he) Hari ini umi rasa amat gembira. Bukan kerana beroleh pujian atau sejambak bunga tapi umi dapat mengajar dengan penuh semangat dan semua kelas yang umi masuk memberi tumpuan tentang topik yang dibincangkan. Hinggalah kelas yang hujung pun masih lagi mantap umi menjalankan P&P. Selalunya hanya guru-guru yang terlebih mengajar tapi anak-anak asyik menjeling jam di tangan kerana mahu cepat pulang. Kasihankan sang guru...

Lalu, umi panjatkan syukur dan doa agar terus diberi semangat sebegini saban hari untuk berdepan anak-anak didik umi. Memang pun sebelum melangkah ke sekolah umi selalu berwuduk dan berdoa agar umi diberi sabar dan tenang kala berdepan anak-anak yang nakal. Puas dijerkah masih tak makan saman. Telah diberi amaran mereka tetap serupa lalu umi ambil pendekatan bicara cara halus. Umi tetap menegur. Umi tetap memarahi. Umi tetap menasihat tapi dengan nada yang amat lembut. Hasilnya mereka terkasima dan malu... mereka terdiam... aduhai anak-anak nakal...

Apa pun umi tetap gembira kerana hari ini umi dapat menjalankan amanah dengan penuh dedikasi. Syabas umi.... dan terima kasih anak-anak...

Wallahu a'lam

Tuesday, October 13, 2009

Muhasabah Cinta

Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

~Edcoustic~
"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah hendak memberi kita pelangi".

Itulah ujian dan dugaan dan cara mana kita mendepani tiap-tiap mehnah dan tribulasi hidup. Umi sendiri pernah menangis bila bertanya mengapa begini diduga. Seperti tidak pernah tahu untuk berhenti kolam air mata ini mengempang butir-butir tangis.. Lalu umi kumpul cebis-cebis kekuatan yang masih bersisa agar menjadi padu dan pejal dalam menongkah hidup.Dan umi cuba melihat sekeliling dan bandingkan dengan diri umi...

Umi malu sendiri. Masih ramai insan-insan lain di luar sana yang turut ditimpa musibah. Cuma caranya yang berbeda.Dan di mana kekuatan mereka? Umi kira kekuatan itu datangnya dari hati, jiwa dan minda yang patuh pada Yang Maha Pencipta. Sesungguhnya hanya Dialah yang tahu segala urusan pentadbiran hidup kita.

Lalu, wajarkah kita terus bersangka songsang pada tiap-tiap ujianNya?

Menyebut tentang ujian, ianya datang dalam pelbagai bentuk. Ada ibu ayah diuji dengan kerenah anak-anak, para guru diuji dengan permasalahan anak murid, pekerja bawahan dengan sang majikan, orang awam dengan birokrasinya. Macam-macam... Ada pula diuji dengan kemewahan dan kemiskinan... Semuanya menuntut pada yang satu... yakni hati yang zuhud dan penuh taqwa pada Allah.

Seperti kata...

adakalanya kita perlu MENANGIS agar kita tahu hidup ini bukan sekadar KETAWA dan adakalanya kita perlu KETAWA agar kita tahu mahalnya nilai AIRMATA...bersyukur pada orang yang MENYAKITI kita kerana dia yang MENABAHKAN kita, bersyukur pada orang yang TIDAK MENGENDAHKAN kita kerana dia yang MEMUPUK kita BERDIKARI, bersyukur pada orang yang MENJATUHKAN kita kerana dia yang MEMPERHEBATKAN kemampuan kita, bersyukur pada orang yang MENYIKSA kita kerana dia yang menguji KESABARAN dan KETABAHAN kita...

Wallahu a'lam.

Wednesday, September 30, 2009

Kala Bumi Bergegar

Sebenarnya... umi menanti peluang untuk berkongsi cerita. Semasa bercuti di kampung sempena eid mubarak lalu, umi menonton bersama Nur Balqis. Sambil tangan mengulit Nur Balqis, mata menatap Siaran Astro Awani yang memaparkan kisah tentang kejadian tsunami di Banda Acheh tahun 2004. Memang umi akui itu tanda-tanda kiamat hampir dengan kita. Dalam paparan itu diselitkan kisah-kisah sedih yang dialami oleh ramai mangsa di sana yakni kehilangan orang yang tersayang. Bukan sedikit nyawa terkorban malah ratusan ribu orang hinggakan mayat-mayat bergelimpangan di sana sini. Itu baru sedikit Allah menunjukkan kuasanya. Pun begitu, umi yakin Allah Maha Penyayang kerana kejadian itu menjadi ingatan buat mereka yang kasihkan Allah.

Dalam bicara itu, seorang hamba Allah menyatakan keadaan mayat amat menjelekkan, mengerikan malah bertelanjang. (Ampuni kami Ya Allah). Ini pastinya menjadi tauladan buat mereka yang berfikir. Beliau berkata, jika semasa hayat kita, kita menjaga aurat pastinya semasa ajalnya kita Allah pasti menjaga aurat kita. Umi percaya kerana semua itu adalah kehendak Allah. Kita hidup bersebab, kita mati juga bersebab. Semoga kita mati dalam keadaan yang baik...

Apa yang ingin umi kaitkan dengan kejadian semalam ialah, tepat jam 6.15 ptg, 30.9.2009, sedang umi melayari internet, umi terasa bumi ini bergoyang. Umi pandang ke depan. Ya, gril pintu bilik guru juga bergoyang. Umi ingatkan umi pening tapi umi dapat rasakan dengan nyata yang umi teroleng-oleng di atas tanah. Nah, umi terus teringatkan kejadian gempa bumi 2004 di Banda Acheh yang menyebabkan tsunami dan menjadi sejarah dunia. Tiada kata terucap hanyalah kalimah syahadah dan istighfar yang beralun di bibir dan hati. Umi teringatkan Nur Balqis. Umi mohon dipanjangkan umur agar dapat terus mendidik Nur Balqis.

Itu kita yang berada jauh berpuluh ribu kilometer dari tempat kejadian. Bagaimana agaknya jika mereka yang berdepan dengan situasi itu. Pastinya mereka turut memohon belas kasihan Yang Maha Kuasa. Namun, kenyataan harus dihadapi. Musibah menjadi petaka bukan tanda Allah benci atau murka tapi semuanya sebagai peringatan buat kita semua.

Jauh disudut hati, umi berdoa agar Allah ampuni dosa-dosa kita. Semoga kita menjadi hamba Allah yang taat dan bertaqwa.

Sunday, September 27, 2009

Mohon Ampun dan Maaf

Selamat Hari Raya, Aidil Fitri Maaf Zahir Batin pada semua yang mengenali diri ini. Walau kita tidak dapat bersama ingatan dan kenangan tetap berkembang dan merah ke akhir hayat. Semoga hidup kita diberkati Ilahi...

Sunday, September 20, 2009

Salam Idul Fitri

Syukuran Jazilan Ya Allah kerana dengan keizinan Mu hamba mampu melaksanakan ibadah puasa ini dengan sempurna. Entah mengapa hiba sungguh hati hamba tatkala terkenangkan ramadan yang telah berlalu pergi. Entah sempat atau tidak hamba menunaikan ibadah ini lagi di tahun akan datang. Moga-moga usia hamba dipanjangkan agar hamba dapat bertemu lagi dengan bulan keramat itu. Ya Allah, sesungguhnya hamba terasa amat tenteram dan nyaman sekali. Barangkali inilah anugerah Mu pada hamba yang hina ini. Ya Allah, hamba pohon kepada Mu agar kuatkanlah rasa cinta hamba pada Mu agar hamba tidak tersesat di jalan Mu. Hamba pohon Ya Allah...

Saturday, September 12, 2009

Malam Bersenandung Tasbih

Malam ini sudah malam ke-23 kita berpuasa. Rata-rata kita berbicara tentang malam mukjizat kepada insan terpilih. Entah mengapa, aku juga menantikan malam itu. Aku bertanya pada diri, cukup sempurnakah amal ibadat ku pada kali ini. Sebak, sayu, pilu terkenang kalemahan diri dalam mengejar cinta Ilahi. Pun begitu, aku tetap bersyukur kerana masih bernafas dan berkesempatan menjalani ibadah puasa ini dengan penuh bahagia dan tenang. Menjalani ibadah ini seadanya tanpa berlebih-lebih. Dalam pada itu satu hasratku yang masih tak tertunai... aku mahu berbuka dan berterawih di Masjid Negeri. Tak mengapalah, insyaallah aku berharap dapat juga berbuat demikian setelah Nur Balqis besar. Mungkin tahun hadapan aku bisa berbuat demikian.

Hujan sekejap...

Tuesday, September 8, 2009

Sunday, August 9, 2009

ABC...

KASIH IBU




Ya Allah,
Hamba memohon dengan rendah hati, dalam keadaan diri hamba yang hina dan dengan keadaan hamba yang lemah... Kau makbulkanlah hasrat hati hamba yang dhaif ini. Hamba merayu dan meminta agar dilindungi anak hamba dari tipu daya dan hasutan syaitan yang direjam. Kau tumbuh suburkanlah hatinya dengan nurMu agar diri dan jiwanya tidak hanyut dalam fitnah dunia dan akhirat.
Wahai Tuhan yang Maha Agung, Pengasih dan Penyayang...

Wednesday, August 5, 2009

SEBUAH KENANGAN

Malam Nisfu Sya'ban... Tiap kali tiba saat ini aku pasti terkenang pada arwah abat yang tercinta. Mana tidaknya, kami adik beradik disuruh bersiap-siap dari awal untuk ke masjid. Kata abat malam ini Allah akan turun ke langit bumi untuk mendengar doa dan rintihan hamba-Nya. "Kita kena meminta, jika kita tidak meminta macam mana Allah nak beri apa yang kita nak."

Kebiasaannya tiap kali malam nisfu Sya'ban kami akan ke masjid. Solat maghrib berjemaah dan baca yasin tiga kali. Pada tiap kali yasin habis dibaca, imam disudahi dengan doa. Mohon diampunkan dosa, mohon dimurahkan rezeki dan mohon dimatikan dalam keimanan.

Terasa... aku amat terasa kehilangan abat kerana aku terasa sendiri dalam perjuangan ini. Kenapa aku amat terkesan oleh kepergiannya? Setelah abat pergi, aku tidak lagi bersolat jemaah. Setelah abat pergi aku tidak lagi punya teman berjaga malam, mengadap Al-Khalik. Aku amat - amat rindu keadaan itu.... Pun begitu, aku berusaha melakukan sedaya aku sendirian. Apa yang baik yang diajar oleh abat, aku ikut dan aku amalkan.

Apatah lagi kini aku menjadi ibu. Pastinya doa ibu amat mustajab untuk anaknya. Insyaallah, aku akan terus mendidik diri agar menjadi hamba Allah yang taat dan bertaqwa. Bukankah aku pernah berada dijalan itu. Aku mesti teguhkan istiqamahku.. Perjuanganku belum berakhir.

Semoga tahun ini membuat hidupku lebih aman dan tenang, semoga apa yang berlaku dalam hidupku menjadi azimat untukku tabah dan sabar menempuh hidup. Dan yang utamanya... aku mahu menjadi hamba Allah yang lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya. Menjadi insan yang lebih baik.... Ya Allah, kuatkan lah tali keimanan ku ini... Amin.

Thursday, July 30, 2009

Anakku Sayang




Bismillah...

Umi bersyukur kerana Allah memberi umi peluang merasai nikmat mengandung, sakit hendak melahirkan dan saat-saat berjaga malam sewaktu melayan kerenah Nur Balqis. Semua itu melahir satu perasaan yang tak terungkap.

Lalu umi teringat seorang murid pernah bertanya, "Cikgu, macam mana seorang ibu itu boleh ada perasaan keibuan?" Umi tidak terus menjawab tetapi bertanya semula kepada murid tadi "apakah perasaan kalian terhadap ibu bapa kalian?"

Sesungguhnya hubungan antara ibu bapa dan anak adalah hubungan yang tak terungkap. Barangkali darah yang mengalir itu adalah darah si ibu yang membuatkan seseorang ibu itu lebih sensitif tentang hal ehwal si anak. Naluri seorang ibu selalunya benar dan diberkati...

Semoga umi dapat menjadi ibu yang membanggakan Nur Balqis dan sebagai teladan yang baik untuknya... Amin.

Wednesday, July 29, 2009

Rindu...


Tatkala memandang mega merah di ufuk timur, lantas aku rindu sendiri...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...