Wednesday, October 21, 2009

Seorang sahabat, teman, rakan, kawan.

Mana satukah kita antara yang di atas?

Syukur, gembira, senang, bahagia...

Itulah gambaran perasaan ku tatkala dapat menjejak seseorang yang telah lama ku cari. Tidak tersangka pula akan bersua dalam dunia maya kecanggihan teknologi ini. Bermula dengan fb adikku, aku meneroka teman-temannya. Dan... tersentak aku melihat seraut wajah yang lama ku cari. Cuma aku agak terkeliru kerana nama akhirnya tidak seperti yang aku tahu. Aku cuba menghantar pesan. Dan 16.10 aku disapa olehnya. Ya Allah, aku berdoa agar pertemuan yang tak terduga ini tidak menggugah martabat keimanan ku padaMu Ya Rabbi. Ampuni aku jika dalam larut bicara ku ini, aku melupaiMu. Ampuni aku yang lemah ini...Sesungguhnya aku benar rasa berbunga-bunga.

Apapun, aku hanya berharap persahabatan yang terputus dulu dapat berlangsung kembali. Aku maklum, dia punya tanggungjawab dan aku juga punya tanggungjawab, namun niat aku satu... sekadar sahabat...

Bercerita tentang sahabat... aku lebih suka memanggil mereka ini sahabat kerana hadir mereka terkesan di danau hatiku. Bermacam-macam watak dipertemukan dengan ku. Namun semuanya ku terima tanpa ada rasa curiga. Bagiku, bukan mudah untuk menyuruh orang sayang kepada kita. Lalu aku katakan pada diri, bersahabatlah dengan jujur selagi ia tidak memudaratkan. Hingga hari ini aku masih ingati kehadiran mereka dalam hidupku, meneman ku menelusuri usia kehidupan.

Dan dia... yang ku panggil Tha, adalah sahabat yang pertama lekat di hatiku. Mengapa ya? Dia, di antara mereka yang menyedarkan ku betapa pentingnya menuntut ilmu. Bermula sekadar usikan, ditambah ejekan rakan, kami menjadi kawan. Aku kagumi... dia lebih bijak dari ku. Mula terbit rasa rendah diriku kerana aku tidak sebagus dia. Dan persaingan tentang pelajaran sering menjadi topik perbualan.

Pernah terjadi satu peristiwa di mana aku amat marahkan dia hanya kerana aku terasa diperkecil dalam mata pelajaran Prinsip Akaun. Waktu itu, kami ditingkatan 4. Dia datang ke sekolah atas urusan berpindah ke sekolah teknik. Aku sendiri sudah ingat-ingat lupa. Dia datang menemuiku, menanti hingga akhir waktu. Aku juga amat gembira kerana setelah dia berpindah sekolah itulah terakhir kalinya aku berjumpa dia. Tidak ku sangka hari itu menjadi detik pemisah antara kami.

Dia dan seorang lagi rakan (Madi barangkali) berbicara sambil tertawa apabila aku katakan aku mengambil Prinsip Akaun. Aku mula rasa diperkecil. Memang mereka ketawakan aku. Kenapa? Benak sangatkah otakku untuk belajar pelajaran tersebut? Aku amat malu dan rasa bodoh. Dan... Pang! Aku...aku pukul dia. Di pipi. Dan aku lihat dia amat terperanjat. Barangkali dia tak sedar dalam berbicara waktu itu telah menyakiti hati aku. Aku terus berlalu. Aku ke surau. Ada teman yang perasan sewaktu aku melalui mereka bertanya kenapa aku menangis? Oh, tidak aku sedar sebak amat aku rupanya. Aku menangis kerana aku telah sakiti dia. Aku menangis kerana aku diperkecil oleh dia. Aku menangis kerana aku ingatkan dia sahabatku. Tapi... sangka ku silap. Kalau sahabat dia tidak akan ketawakan sahabatnya bukan? Lalu aku berkeputusan memencil diri. Membawa rajuk yang tak berhaluan. Aku diam. Aku terus diam. Dan dia, dia juga diam. Aku kira dia marahkan aku, atau berdendam denganku, atau bencikan aku. Kerana dia juga tidak mencariku... Hingga hari ini aku masih belum meminta maaf di atas perbuatanku. Aku menyesali namun telah terlambat kerana aku langsung terputus hubungan dengannya...

Setelah makin dewasa, setelah aku sedar betapa sensitifnya aku dulu, betapa lemahnya kawalan emosi aku dulu, baru aku mula mencari dia. Merisik khabar dengan teman-teman yang kenali dia. Namun masih tidak berberita. Lalu aku pasrah pada takdir... Jika aku punya kesempatan dalam pertemuan dengannya, aku akan memohon maaf...

Dan... hari yang aku nanti tiba juga. Aku bersyukur kerana masih berkesempatan untuk menebus khilafku yang dulu. Setelah 16 tahun berlalu... ada cerita bertemu sudahnya.

Sahabat, sudikah kau maafi aku?

Terima kasih atas persahabatan ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...