Wednesday, November 18, 2009

Syukran Jazilan Ya Allah...

Dengan nama-Mu Ya Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-32.

Alhamdulillah, teramat syukur aku pada-Mu wahai Tuhan kerana hari ini aku masih lagi menghirup udara-Mu dengan percuma. Hari ini juga aku amat bersyukur kerana Kau masih melimpahi aku dengan hidup yang harus aku manfaatkan sebaiknya. Aku bersyukur kerana Kau masih memberi peluang untukku tebus segala khilaf hidupku selama 32 tahun ini. Saban hari aku berdoa agar Kau panjangkan usiaku agar aku dapat memohon pengampunan-Mu sebelum tiba hari perhitungan yang hakiki. Aku takut seandainya aku tersesat jauh dari syurga-Mu dan segala kebaikan yang terbentang luas.

Ya Allah, hadiah apakah yang terbaik aku terima pada ulang tahun kelahiranku ini? Tiada yang lebih istimewa selain nikmat nyawaku itu sendiri kerana dengan adanya ia dalam jasadku aku masih bisa melangkah dan melaksanakan segala amanah yang dipertanggungjawabkan padaku. Bukankah itu sebaik-baik nikmat? Oleh itu, Kau bimbinglah aku dalam menongkah arus hidupku ini ke arah-Mu dengan sebaik-baiknya kerana aku amat yakin hatiku ini telah terpaut erat pada-Mu. Aku mohon Ya Allah, agar Kau terus menyayangi aku dan memandangku. Semoga Kau terus limpahkan hidayah-Mu agar aku bisa memperhambakan diri pada-Mu.

Ya Allah, selama 32 tahun ini, pelbagai ujian aku tempuhi. Adakalanya aku tewas lalu jatuh jauh nun ke dalam gaung dosa. Sukar sekali aku meraih kemaafan insan. Lalu aku memujuk hati mencari kebenaran merapati-Mu. Bukan kerana aku kecewa, namun aku mahu mencari ketenangan yang abadi bersama-Mu. Aku temui. Aku benar-benar temui itu dalam perhubungan kita yang amat sempurna. Namun aku sedar adakalanya aku tersungkur lagi dan Kau tidak jemu-jemu menghulur tangan sakti-Mu padaku. Menarikku kembali naik dari lemas dunia. Lalu apakah pengabdianku ini tidak sejati? Apakah cintaku ini tidak tulus? Oh Tuhan, benarlah kata-Mu…sesungguhnya manusia itu terdiri dari sifat lupa dan alpa. Tahu tapi masih leka. Aku mohon Ya Allah, agar aku tidak terus bergelumang lupa dan alpa kerana itu adalah pembunuh yang senyap. Kau Maha Mengetahui akan perjalanan hidup ini dan Kau Maha Arif akan kehadiranku di dunia pinjaman ini.

Ya Allah, aku masih punya tanggungjawab terhadap anakku, keluargaku, muridku, masyarakatku, bangsaku juga agamaku. Sementara Kau pinjamkan mereka padaku dan aku pada mereka, Kau bantulah aku. Biar mereka mendapat sebaik-baik pembelaan dariku. Banyak lagi kekurangan yang harusku lunasi sebelum masa menjemputku. Peliharalah kesihatanku agar aku dapat terus beribadah dan berkhidmat dalam hidupku. Sabar dan tabahkanlah hatiku dalam perjalanan ini. Aku juga bersyukur kerana Kau anugerahkan aku keluarga, teman dan sahabat yang penyayang dan tidak jemu mengingatkanku bila aku terlalai dalam amal perbuatanku, ibadahku, tanggungjawabku, juga saat suka dukaku. Aku yakin Ya Allah, tanpa Kau gerakkan hati mereka mana mungkin mereka berkata padaku.

Ya Allah, aku bersyukur dengan rezeki yang Kau anugerahi padaku. Biar sekecil mana habuannya itu sudah memadai asalkan ianya halal dan tidak menyalahi. Semoga kau redhai rezekiku ini dan ringankan tanganku untuk memberi. Semoga kesederhaan itu menjadi amalanku selamanya.

Ya Basir, terima kasih kerana menampakkan aku segala kemungkaran agar dapat aku simpangi, agar dapat aku perbaiki dan agar dapat aku insafi. Terima kasih juga kerana menganugerahkan aku pandangan ilmu agar dapat terus aku melihat kejadian-Mu dan membuatku berfikir akan kebesaran-Mu.

Ya Rashid, peliharalah lidahku dan mulutku supaya dapat terus bezikir nama_Mu dan memuji Rasul-Mu. peliharalah kata-kataku supaya bercakap yang benar, yang ditutur bakal menjadi penawar dan yang diluah menjadi azimat.

Ya Qayyum, puji-pujian ke atas-Mu yang membenarkanku berdiri, berlari dan melangkah walau langkahku pernah songsang, walau jalanku pernah silap, walau tariku pernah sumbang dan jelik, Kau tetap memberiku peluang agar dapat ku perbetul semuanya seiring peningkatan usiaku ini. Ya Allah, letakkan kaki ini dilandasan-Mu supaya ia melangkah ke rumah-Mu, ke Raudhah-Mu dan ke sisi-Mu. Pesongkan kakiku ini dari mencecah kemurkaan-Mu.

Ya Wahid, syukurku pada-Mu kerana kau berikan kedua tanganku ini untuk terus bekerja yang benar. kau berikan khudrat padanya agar aku tidak mengambil bukan yang hakku. Pintaku pada-Mu Ya Allah, ampuni khilaf tangan ini jika pernah mengambil bukan yang milikku dan mengingkari amanah yang diberi. Semoga aku bisa terus menadah tangan meraih syafaat dan hidayah-Mu.

Dengan izin-Mu jua, hari ini aku bisa meluah bicara ini kerana terasa terlalu banyak aku berhutang dengan kurnia-Mu dan terasa terlalu sedikit pengabdianku pada-Mu. Terasa amat malu kerana Kau tidak pernah putus memberi sedangkan aku selalu lupa untuk berterima kasih. Semoga Ya Allah, akalku ini terus jernih dan cerdas, hatiku ini selalu tulus, badanku ini terus segar untukku lakukan penghambaanku pada-Mu. Yang kesekiannya, semoga Kau terus lindungiku dan anakku, keluargaku juga mereka-mereka yang aku sayang dari dakyah dan tarikan seri dunia yang menyesatkan. Semoga aku bisa memanfaatkan hidupku untuk kemaslahatan semua dan sempatku perbetul segala ralat sebelum Kau ambil semula nyawaku kerana ia adalah hak-Mu.

Dikesempatan ini, aku mohon Kau cucurilah rahmat-Mu ke atas roh kedua ibu dan ayahku yang kini bersama-Mu. Aku benar-benar kangan pada mereka. Aku akan terus berusaha menjadi anak yang solehah kerana hanya tiga perkara yang dapat membantu setelah mati menjemput. Yakni amal ibadah, sedekah jariah yang berterusan dan juga doa anak yang soleh. Semoga doaku ini diterima dan bisa membahagiakan mereka disamping-Mu. Terima kasih bonda kerana melahirkan aku. Terima kasih ayahanda kerana mendidikku. Budi dan jasa kalian tidak mampuku balas selamanya. Semoga kita bertemu di Firdaus Allah dan sesungguhnya kalianlah hadiah terindah yang pernah aku miliki. Wahai Tuhan Sekelian Alam, ampunilah segala dosa-dosaku dari dulu hingga kini yang entah menggunung tinggi. Aku sebenarnya amat takut dengan siksaan-Mu kerana aku yakin janji-Mu itu adalah benar.

Kepada insan yang aku berhutang kemaafan, ampunkan aku jika meluka, mengguris dan menyakiti kalian. Minda ini mungkin sudah terlalu lemah untuk mengingat mereka yang menyakiti, bicara yang mengguris hati, kata yang merobek jiwa, juga yang mengherdik telinga, menusuk mata dan meracun semangatku. Sesungguhnya jiwa ini kian menguis rasa benci supaya disiram rasa maaf. Semoga aku temui tiap kemaafan. Ampuni aku ayahanda dan bonda. Ampuni aku kanda, adinda, sahabat, teman dan semua. Ampuni aku Ya Allah.

Biar esok aku dibangkitkan semula supaya bersedia untuk dikembalikan. Amin.

Wednesday, November 4, 2009

Air Mata Jatuh Di Dalam...

Ungkapan itu gambaran kesedihan yang amat... Aduhai, apalagi yang meruntun hati? Apalagi yang mengusik rasa? Apalagi yang menghambat suka... Lalu aku berteleku lagi. Berfikir yang terbaik untuk diri dan orang-orang sekeliling... Ahh... aku buntu. barangkali akalku tidak berfikir tenang dan jernih... Banyak sekali ralat yang terjadi. Lalu aku cuba mendistancekan diri. Masih terlalu awal untukku berkeputusan. Biarlah dahulu hingga mindaku cergas semula... lemahnya aku sebagai hamba...

"Sesuatu" yang terjadi di akhir-akhir ini amat-amat mengajar aku tentang sesuatu yang bukan milikku... Sesungguhnya semua yang ada di langit dan di bumi ini adalah milik Allah... Walau sayang yang dalam, walau kasih yang membara semua itu hanya sementara.. Jika ditakdir ia datang seperti air lalu, seperti airlah ia akan pergi..

Dan aku... masih juga di sini, menelusuri hidup ini seperti apa adanya...dan aku berpesan pada diri...Bersyukurlah dengan apa yang telah aku ada, dan apa yang pernah aku ada...

Tuhanku... terima kasih kerana sayang pada ku.

*** semalam, aku lihat nun di ufuk timur mega merah merona di angkasa senja... lalu terhasil celoreng yang indah dan mendamaikan. aku terus berlari mengejar cahaya suka hingga terlupa laskar pelangi pagi yang turut pernah menghadirkan rasa bahagia. aku terasyik dalam cinta yang singkat bilamana guruh amaran memberi ingat... hidup ini tidak selalu indah...***
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...